Sunday, March 24, 2013

Pengenalan Kepada Penyelidikan

 PENDAHULUAN

 
Penyelidikan sains sosial merujuk kepada penyelidikan yang dijalankan oleh ahli sains sosial dalam pelbagai disiplin yang berkaitan dengan kehidupan manusia, kumpulan sosial dan institusi sosial. Penyelidikan sains sosial adalah satu kaedah yang sistematik untuk meneroka, menganalisis dan membetulkan fakta tentang tingkah laku manusia dan kehidupan sosial serta interaksi antara alam sekitar dan institusi sosial. Tujuan penyelidikan sains sosial bagi mencari fakta-fakta baru atau mengesahkan dan menguji fakta lama. Kaedah penyelidikan sains sosial dapat dibahagikan kepada dua kategori umum iaitu kajian berbentuk kuantitatif dan kualitatif. Reka bentuk kuantitatif bermaksud mengkaji fenomena sosial melalui bukti yang boleh diukur dan sering bergantung kepada analisis statistik untuk membuat rumusan yang sah dan boleh dipercayai. Sebaliknya, reka bentuk kualitatif pula mengkaji fenomena sosial melalui pemerhatian langsung, berkomunikasi dengan peserta atau penyiasatan dokumen-dokumen purba sejarah.
 

APA MAKNA PENYELIDIKAN?

Dari segi bahasa, perkataan penyelidikan atau research terdiri daripada dua suku kata, iaitu re (kata awalan yang bermaksud semula; sekali lagi) dan search (kata kerja yang bermaksud memeriksa dengan rapi; teliti; untuk menguji; untuk menyiasat). Gabungan kedua-dua perkataan membentuk suatu kata nama bermaksud kajian secara teliti, sistematik dan penyiasatan dalam beberapa bidang ilmu yang dijalankan untuk mendapatkan fakta atau prinsip.

 

Pengertian Penyelidikan oleh Sarjana

Terdapat beberapa definisi penyelidikan yang diberikan oleh beberapa sarjana sains sosial. Azhar dan Nawi (2004) menyatakan penyelidikan adalah satu proses untuk mencari dan mendapat pengetahuan atau ilmu. Mohd Majid (1998) pula mendefinisikan penyelidikan sebagai cara untuk memperolehi pengetahuan baru.
Penyelidikan didefinisikan sebagai aktiviti yang teratur  bagi mencari jawapan kepada soalan-soalan khusus yang dikemukakan tentang sesuatu masalah yang hakikinya (atau tabiinya) sudah di kenalpasti (Ahmad Mahdzan, 2000).
Penyelidikan merupakan aktiviti penyelesaian masalah yang membawa kepada pengetahuan dan penemuan baru dengan mengunakan kaedah mengenalpasti dan persoalan yang sedang digunapakai oleh sarjana-sarjana di dalam bidang tersebut (Helmstadter, 1970).
Penyelidikan adalah suatu penyiasatan atau ujikaji yang bertujuan menemui dan mengintrepretasikan fakta-fakta, mengulang semula teori yang diterima didalam penemuan baru atau amalan penggunaan teori atau undang undang dan peraturan baru atau yang digunapakai semula. (Woolf, 1975)
Penyelidikan dalam perniagaan adalah satu proses yang sistematik yang menyediakan maklumat dalam membuat keputusan-keputusan berkaitan perniagaan (Cooper, 1995). Penyelidikan perniagaan sebagai suatu yang terancang, sistematik, berasaskan data, objektif, penyiasatan saintifik atau  penyelidikan bagi  satu masalah atau isu yang khusus dengan tujuan mencari penyelesaian atau penjelasan kepada masalah tersebut (Cavana, Delahaye, dan Uma Sekaran, 2001).
Menurut Salkind (2009) penyelidikan adalah aktiviti intensif yang berasaskan kepada kerja-kerja yang dilakukan oleh orang lain dan menjana idea-idea baru untuk diteruskan dan persoalan-persoalan untuk dijawab. Penyelidikan berasaskan kerja orang lain bukan bermaksud menyalin semula kerja orang lain (plagiat), tetapi menyediakan asas kepada subjek kajian yang kita jalankan dan menjadi panduan bagaimana kita dapat menjalankan penyelidikan sendiri dengan mengambil metodologi yang telah digunakan.

Daripada beberapa definisi tersebut boleh disimpulkan bahawa makna atau pengertian penyelidikan oleh beberapa sarjana adalah sama, cuma berbeza dari segi pengolahan ayat sahaja. Secara umumnya, penyelidikan adalah suatu aktiviti yang teratur untuk mencari penyelesaian terhadap sesuatu masalah ataupun untuk mendapatkan ilmu pengetahuan yang baru.
Penyelidikan adalah suatu penyiasatan yang berstruktur menggunakan kaedah saintifik yang bersesuaian untuk menyelesaikan masalah dan mencipta pengetahuan baru yang secara umumnya boleh digunapakai. Kaedah saintifik terdiri daripada pemerhatian, pengelasan dan pentafsiran data secara sistematik. Menjalankan sesuatu  penyelidikan bermaksud  mencari maklumat lebih lanjut dan mendalam mengenai sesuatu perkara. Pengetahuan yang diperoleh daripada penyelidikan adalah pengetahuan yang bersifat ilmu iaitu pengetahuan yang telah diketahui kesahihan maklumat dan telah dibuktikan kebenarannya. Penyelidikan bukan proses memindahkan maklumat dari satu tempat ke tempat yang lain atau dari sebuah buku kepada satu bentuk kertas kerja dan sebagainya.
Oleh itu, satu kaedah yang sistematik dan saintifik harus dilakukan bagi memastikan pengetahuan baru yang diperoleh merupakan fakta-fakta yang boleh dipercayai. Penyelidikan yang bersifat saintifik dapat memastikan apabila kajian yang sama diulang akan dapat menghasilkan keputusan yang serupa. Selain itu, penyelidikan juga bertujuan memperbaharui teori, kesimpulan atau hukum-hakam sedia ada setelah pengetahuan baru tersebut diperolehi.
Penyelidikan perlu bersifat sistematik kerana ia mengikuti beberapa langkah tertentu yang secara logiknya perlu mengikut susunan.  Langkah-langkah tersebut adalah seperti berikut;

a)            Memahami jenis atau sifat masalah yang akan dikaji dan mengenal pasti masalah tersebut berkaitan dengan bidang pengetahuan penyelidik.
b)            Membaca sorotan karya terdahulu bagi memahami bagaimana pendekatan yang digunakan oleh penyelidik lain atau bagaimana penyelidik lain menyelesaikan masalah tersebut.
c)            Mengumpul data secara teratur dan terkawal supaya keputusan kajian kelak mempunyai kesahan.
d)           Menganalisis data menggunakan prosedur yang tepat kepada masalah dikaji.
e)            Membuat kesimpulan dan generalisasi secara tepat.

Apabila anda mengatakan bahawa anda sedang menjalankan penyelidikan untuk mencari jawapan kepada soalan-soalan kajian tersebut, ini bermaksud anda perlu mematuhi tiga kriteria berikut dalam melakukan proses penyelidikan;

1.      Kajian dijalankan dalam rangka kerja bagi satu set falsafah tertentu. Falsafah bermaksud pendekatan atau prosedur seperti pendekatan kuantitatif, kualitatif serta perlu bersesuaian dengan bidang akademik yang anda mempunyai kepakaran.
2.      Menggunakan prosedur, kaedah dan teknik yang telah diuji kesahan dan kebolehpercayaannya. Kesahan bermaksud prosedur yang betul telah digunakan untuk mencari jawapan kepada soalan kajian, manakala kebolehpercayaan merujuk kepada kualiti prosedur pengukuran yang bertepatan dan boleh diulangi.
3.      Kajian yang dijalankan itu bersifat tidak bias dan objektif. Ini bermaksud anda telah mengambil setiap langkah yang tidak berat sebelah atau cuba mengelakkan tindakan yang sengaja untuk menyembunyikan atau menonjolkan sesuatu.

1 comment:

  1. Water Hack Burns 2lb of Fat OVERNIGHT

    More than 160 000 men and women are losing weight with a easy and SECRET "liquid hack" to burn 1-2lbs every night as they sleep.

    It's scientific and works with everybody.

    Just follow these easy step:

    1) Grab a drinking glass and fill it up half the way

    2) And then do this proven HACK

    you'll be 1-2lbs skinnier in the morning!

    ReplyDelete