Sunday, March 24, 2013

Langkah Penting Dalam Penyelidikan

1.      MENGENALPASTI MASALAH 

Mengenalpasti masalah merupakan langkah pertama dalam proses penyelidikan. Pada asasnya, ia melibatkan  penyelidik supaya  memahami sesuatu masalah  itu dengan jelas dan tepat. Ini amat penting kepada penyelidik bagi mengenal pasti, memahami dan menyatakan masalah tersebut dalam  keupayaannya untuk menyelesaikan masalah tersebut melalui penyelidikan serta  memahami  semua proses yang perlu yang bakal dilakukan dalam menyiapkan kerja-kerja penyelidikan.

Penyelidik perlu tahu membezakan antara masalah biasa dan masalah umum yang memerlukan kajian dijalankan. Masalah biasa ialah masalah yang sering dihadapi oleh individu dalam kehidupan harian seperti masalah kesihatan, masalah kewangan dan sebagainya. Masalah biasa boleh diselesaikan tanpa perlu melakukan penyelidikan. Sesuatu penyelidikan akan dijalankan apabila timbul masalah umum yang rumit serta dialami oleh sebahagian besar golongan masyarakat. Penyelidik pula perlu mengenal pasti latar belakang sebenar kepada masalah yang ingin dikaji atau siapakah yang hendak dikaji. Penyelidik perlu mempastikan sama ada masalah itu benar-benar wujud dan memerlukan penyelidikan baru bagi menyelesaikan masalah berkenaan. Jika masalah tersebut boleh diatasi tanpa memerlukan penyelidikan atau melalui hasil-hasil penyelidikan terdahulu, maka penyelidikan baru tidak perlu dijalankan.

Sejauh mana kepentingan masalah tersebut adalah bergantung kepada pendapat penyelidik itu sendiri. Pemilihan sesuatu masalah adalah lebih bergantung kepada minat yang mendalam untuk mengkaji masalah tersebut serta sesuai dengan aspek-aspek kebolehan atau ilmu yang ada pada penyelidik. Selain itu, penyelidik harus berkemampuan untuk menyelesaikan penyelidikan dalam tempoh yang telah ditetapkan. Pertimbangan juga perlu dibuat dari segi kemampuan kewangan untuk menyelesaikan penyelidikan tersebut kerana faktor ini kemungkinan boleh membantutkan kerja-kerja penyelidikan yang dijalankan.

Untuk membolehkan projek penyelidikan anda berjaya, pastikan anda memilih masalah yang sesuai dan menarik minat anda untuk diselidiki. Sebenarnya tidak semudah itu untuk anda  mendapat topik penyelidikan yang dimaksudkan. Anda mungkin terpaksa menghabiskan banyak masa untuk mencari sesuatu masalah untuk dikaji. Malangnya, apa yang sering berlaku terdapat banyak topik yang anda suka dan berminat untuk mengkaji masalah itu. Kemudian, anda menghabiskan masa sehari suntuk di perpustakaan tetapi anda masih belum yakin atau tidak dapat membuat keputusan untuk menyelidiki satu atau dua masalah yang anda temui.

Fikirkan tentang apa bidang yang menarik minat anda untuk dikaji. Topik yang anda minati dapat memberi motivasi kepada anda. Penyelidikan mungkin memerlukan masa beberapa bulan atau tahun untuk disiapkan. Jadi, topik yang anda minati dapat memberi motivasi untuk anda siapkan dalam tempoh masa yang agak lama.

Sumber-sumber Masalah
Terdapat beberapa sumber yang boleh digunakan oleh penyelidik untuk memilih atau menentukan tajuk sesuatu penyelidikan atau punca kepada permasalahan kajian. Antaranya ialah;

a.      Pembacaan
Untuk carian awal sesuatu topik kajian, mungkin anda tidak perlu untuk menghabiskan berjam-jam di perpustakaan. Carian awal boleh bermula di rumah menerusi carian asas menggunakan komputer jika anda telah kenal pasti bidang apa yang anda mempunyai pengetahuan atau kepakaran. Mungkin anda boleh menggunakan carian google atau carian yahoo dengan menaip perkataan yang berkaitan dengan bidang yang anda minati. Mungkin anda berjaya memasuki beberapa laman web tertentu yang berkaitan dengan topik anda. Carian awal dianggap berjaya jika anda mendapat sedikit gambaran tentang masalah apa yang menarik minat anda untuk melakukan kajian lebih mendalam.

Baca lebih lanjut apa-apa topik berkaitan bidang pengajian anda. Anda pasti mempunyai topik yang menarik minat untuk dipilih. Seterusnya, anda boleh rujuk beberapa  jurnal profesional, majalah, buku teks dan disertasi untuk mengetahui lebih lanjut mengenai topik yang telah dibaca. Ini akan memberikan anda idea yang jelas tentang apa bidang yang sudah anda kenalpasti dan apa yang belum anda ketahui. Pembacaan juga dapat membantu mendapatkan teori-teori asas untuk kajian anda serta dapat memberikan anda maklumat tentang pelbagai metodologi yang digunakan dalam penyelidikan.

Pastikan anda mencatat segala maklumat berkaitan yang anda baca atau penyimpan jurnal-jurnal penyelidikan yang anda temui. Tuliskan idea yang dapat mencetuskan satu topik kajian daripada penemuan kajian oleh penyelidik terdahulu, termasuk cadangan-cadangan yang dikemukakan mereka.

Setelah  anda telah mengenalpasti topik utama kajian anda, lakukan carian daripada pelbagai sumber maklumat berkaitan topik. Sumber-sumber ini akan membantu anda memahami sesuatu topik penyelidikan dalam konteks yang lebih luas dan dapat memberitahu anda terma-terma umum tentang topik anda. Sumber-sumber latar belakang yang paling biasa ialah buku-buku dan artikel jurnal daripada kajian-kajian lepas. Artikel jurnal ini biasanya boleh didapati daripada pangkalan-pangkalan data dan katalog yang dilanggan oleh perpustakaan universiti.

Pembacaan artikel yang terdapat dalam jurnal atau majalah boleh membantu penyelidik memperoleh punca kepada permasalahan kajian. Biasanya penulis sesuatu artikel dalam jurnal tersebut akan mencadangkan kajian lanjutan yang boleh digunakan oleh penyelidik yang berminat untuk meneruskan kajian tersebut. Kadangkala penulis artikel tersebut menjalankan kajian di negara lain dan penulis berminat menggunakan pembolehubah atau teori yang sama untuk kajiannya di negara ini.

b.     Perbincangan dengan pakar
Perbincangan dengan orang yang mahir dalam bidang tertentu atau kumpulan profesional dapat memberi kita idea tentang sesuatu masalah yang ingin dikaji (Gill dan Johnson, 2002). Jika anda sebagai tutor atau pelajar universiti maka perbincangan dengan pensyarah yang mahir dalam bidang berkenaan adalah penting untuk mendapatkan idea tersebut. Dapatkan nasihat dan pandangan daripada pakar-pakar dalam bidang berkenaan. Anda sebagai penyelidik yang baru perlu belajar daripada penyelidik yang telah lama terlibat dalam penyelidikan. Dekati mereka yang pakar dan minta nasihat berkaitan sesuatu masalah yang menarik untuk dikaji.

c.      Pengalaman penyelidik
Cari atau kenal pasti apa-apa masalah yang berlaku dalam kehidupan harian anda. Lihat sekeliling anda kerana masalah yang sesuai untuk tujuan penyelidikan wujud di mana-mana. Anda mungkin melihat masalah tersebut dalam konteks amalan profesional atau kehidupan peribadi anda. Biasakan bertanya diri anda sendiri soalan tentang apa yang anda lihat dan dengar serta bertanya kepada diri anda mengapa masalah itu berlaku?.

Seseorang penyelidik boleh mendapatkan tajuk penyelidikan melalui pengalaman peribadi penyelidik itu sendiri. Misalnya, jika anda sebagai generasi kedua atau ketiga seorang peneroka FELDA, tentu anda lebih tahu tentang pelbagai masalah yang berlaku dalam konteks kehidupan sebagai peneroka. Misalnya, masalah kejatuhan harga buah kelapa sawit di pasaran, masalah kekurangan tenaga kerja kerana ramai di kalangan anak peneroka yang berhijrah ke bandar dan banyak lagi. Jadi, daripada pengalaman tersebut anda telah mendapat idea untuk menyediakan satu cadangan penyelidikan berkaitan kesan kejatuhan harga kelapa sawit ke atas pendapatan peneroka. Kebetulan pula penyelidik merasakan masalah berkenaan mampu diselidiki berdasarkan kebolehan penyelidik dalam bidang berkaitan.

d.     Laporan akhbar
Pembacaan akhbar sama ada laporan berita atau rencana pengarang akhbar membolehkan penyelidik memahami sesuatu masalah yang sedang berlaku di seluruh dunia. Hasil daripada pembacaan itu maka timbul satu sumber masalah yang membolehkan penyelidikan dijalankan untuk mengenal pasti faktor-faktor berlakunya masalah tersebut.

e.      Dokumen rasmi kerajaan
Dokumen rasmi kerajaan seperti Laporan Ekonomi, Laporan Perangkaan Tahunan Malaysia, Laporan Rancangan Malaysia dan sebagainya mengandungi maklumat-maklumat penting berkaitan perkembangan dan perancangan ekonomi negara. Maklumat yang diperolehi daripada dokumen rasmi kerajaan ini amat berguna sebagai sumber untuk menentukan tajuk kajian.

f.       Penaja
Terdapat beberapa agensi sama ada dari dalam negeri atau agensi luar negara yang ingin menjalankan sesuatu penyelidikan tentang masalah tertentu yang berkaitan dengan agensi berkenaan. Agensi-agensi ini akan menggunakan kepakaran tempatan untuk mengendalikan penyelidikan tersebut. Antara agensi tempatan yang menjadi penaja kepada penyelidik ialah seperti Fundamental Research Grant Scheme (FRGS), geran penyelidikan daripada badan-badan berkanun atau geran penyelidikan yang disediakan oleh universiti-universiti, manakala agensi-agensi luar seperti UNESCO, FAO, WHO, Bank Dunia dan sebagainya.

Tinjauan Literatur

Selepas mengenalpasti topik kajian, maka tinjauan literatur secara yang lebih serius perlu dilakukan untuk memahami konsep-konsep tertentu serta mencari teori-teori yang berkaitan dengan topik yang dipilih. Menurut Uma Sekaran (2000) pembacaan terhadap karya-karya terdahulu yang berkaitan dengan sesuatu masalah dikaji amat penting bagi mendapatkan maklumat yang diperlukan untuk soalan-soalan kajian. Tujuan kajian ke atas karya terdahulu adalah untuk mempastikan bahawa tidak ada pembolehubah penting yang telah dikenalpasti dalam kajian lepas yang memberi kesan kepada masalah yang dikaji penyelidik diabaikan.

Pengetahuan yang diperoleh daripada karya-karya berkaitan dapat membantu penyelidik mengenalpasti sama ada penyelidik lain sebelum ini pernah membuat kajian yang sama atau yang ada hubungan dengan tajuk yang dipilih oleh penyelidik. Penyelidik dapat mengetahui latar belakang sesuatu masalah dan sejauh mana masalah yang wujud itu telah dikaji. Mungkin kajian yang hampir sama telah dijalankan sebelum ini tetapi di tempat atau di negara lain. Dengan itu, penyelidik boleh membuat kesinambungan terhadap tajuk berkenaan supaya dapat menambahkan ilmu pengetahuan baru.

Pemahaman terhadap teori daripada karya-karya berkaitan dapat membantu penyelidik menghasilkan penilaian yang lebih teratur dan bermakna dalam penyelidikan yang dijalankan. Penyelidik boleh mempelajari teknik dan kaedah yang sesuai untuk menyelesaikan masalah dikaji. Keutamaan perlu diberi kepada karya-karya berkaitan yang lebih terkini kerana karya seperti ini biasanya telah memperbaiki kaedah yang pernah digunakan serta kekurangan yang wujud dalam karya-karya sebelumnya.


2.      MENENTUKAN REKABENTUK KAJIAN

Rekabentuk kajian adalah kaedah atau teknik yang digunakan untuk memperoleh maklumat yang diperlukan dalam penyelidikan. Rekabentuk merupakan plan atau rangka bagi keseluruhan proses penyelidikan. Setiap rekabentuk bergantung kepada permasalahan yang dikaji kerana kajian memerlukan kaedah-kaedah tertentu yang perlu dipatuhi.

Rekabentuk kajian adalah suatu pelan yang sistematik berkaitan prosedur kajian. Rekabentuk kajian merupakan pelan tindakan untuk penyelidik. Dalam rekabentuk kajian ini semua bahagian-bahagian utama dalam penyelidikan akan dihuraikan. Ia membentuk pelan tindakan bagi tujuan pengumpulan, pengukuran dan analisis data bagi  menjawab soalan-soalan kajian yang telah dibentuk oleh penyelidik.

Menurut Cooper (2005) rekabentuk penyelidikan merupakan pelan tindakan bagi pengumpulan, pengukuran dan analisis data. Ia membantu ahli sains dalam pengagihan sumber yang terhad dengan menggambarkan pilihan-pilihan yang penting: Apakah pelan tindakan itu termasuk eksperimen, temubual, pemerhatian, menganalisis rekod, simulasi, atau beberapa gabungan tersebut? Adakah kaedah pengumpulan data dan situasi kajian itu berstruktur? Adakah kajian intensif bagi suatu sampel yang kecil lebih berkesan berbanding kajian yang kurang intensif bagi sampel yang besar? Patutkah analisis utamanya berbentuk kualitatif atau kuantitatif?.

Menurut Hopkins (2000) penyelidikan kuantitatif  bermatlamat untuk menentukan hubungan antara satu perkara (pembolehubah bebas) dan satu lagi (pembolehubah bersandar atau hasil) dalam suatu populasi. Rekabentuk kajian kuantitatif  adalah berbentuk sama ada deskriptif atau bereksperimen.

Rekabentuk kajian yang  disediakan perlu menangani beberapa soalan asas seperti berikut;
a)        Apakah yang akan menjadi skop kajian anda?
b)        Apa data yang anda kumpul?
c)        Apakah kaedah yang anda akan gunakan untuk mengumpul data dan mengapa anda memilih kaedah tersebut?.
d)       Apakah pula kaedah yang anda akan gunakan untuk menganalisis data?

Antara perkara yang perlu dinyatakan termasuklah;
a) Jenis maklumat atau data yang perlu dikumpul
b)  Cara data dikumpul (sama ada pemerhatian, temubual, soal selidik, dokumen atau laporan)
c)  Kaedah pemilihan sampel dan ciri-ciri khusus yang perlu ada pada sampel (misalnya, umur, pekerjaan, pendapatan – jika menggunakan soal selidik)
d) Teknik pemprosesan data (menggunakan program SPSS, Eviews, SAS) dan teknik menganalisis data (teknik korelasi, regresi, ujian-t dan sebagainya).
e)  Cara menulis laporan

Selain itu, perkara-perkara berikut perlu dijelaskan dalam bahagian rekabentuk kajian;
a)    Tujuan Kajian – sama ada tujuan penerokaan, penerangan, penjelasan  atau peramalan.
b)   Penetapan kajian – sama ada berbentuk kajian lapangan,kajian bereksperimen, kajian makmal dan sebagainya.
c)    Unit analisis – sama ada individu, kumpulan individu, organisasi dan sebagainya.
d)   Dimensi masa – sama ada kajian keratan rentas atau kajian longitudinal.
e)    Definisi operasi – penyelidik perlu mendefinisikan konsep-konsep penting yang digunakan supaya konsep itu boleh diukur. Misalnya, bagaimana konsep seperti komitmen kerja, kemurungan, kecerdasan dan sebagainya boleh dioperasikan atau diukur.

Terdapat dua jenis rekabentuk penyelidikan yang utama iaitu  penyelidikan kualitatif dan penyelidikan kuantitatif.  Penyelidik perlu memilih sama ada  penyelidikan yang dijalankan itu berbentuk kualitatif atau kuantitatif mengikut jenis masalah yang dikaji dan soalan-soaln kajian yang perlu dijawab. Penyelidikan ini bertujuan memahami tingkah laku manusia dan sebab musabab yang mengawal tingkah laku berkenaan. Ia cuba menggambarkan sesuatu populasi tanpa mengukur secara kuantitatif setiap pembolehubah  atau  melihat kepada hubungan antara pembolehubah dikaji. Pendekatan kualitatif melibatkan koleksi data naratif atau pengisahan meluas bertujuan  menjelaskan, meramal dan memahami sesuatu fenomena yang dikaji, manakala analisis data hanya melibatkan pengekodan data dan penerbitan satu sintesis lisan. Terdapat beberapa jenis penyelidikan kualitatif yang utama seperti penyelidikan sejarah, penyelidikan fenomenologi, penyelidikan etnografi, penyelidikan kajian kes dan Grounded Theory.

Pendekatan kuantitatif melibatkan koleksi data-data berangka bertujuan menjelaskan, meramalkan, dan/atau mengawal fenomena yang berkepentingan serta menganalisis data terutamanya data berstatistik. Matlamatnya ialah untuk memberi satu gambaran tepat terhadap sesuatu situasi atau fenomena yang dikaji. Dalam sains sosial,  penyelidikan kuantitatif merujuk kepada penyiasatan empirikal sistematik ciri-ciri kuantitatif dan fenomena serta hubungan di antara kedua-duanya. Objektif kajian kuantitatif adalah untuk membangun dan menggunakan model-model matematik, teori-teori dan/atau hipotesis berkaitan sesuatu fenomena. Kaedah pengumpulan data kaedah kuantitatif bergantung kepada persampelan rawak dan  instrumen pengumpulan data yang sesuai dengan pengalaman yang pelbagai kepada kategori respons yang telah ditetapkan. Penyelidikan kuantitatif biasanya menumpukan kepada pengujian hipotesis untuk menjelaskan sesuatu fenomena yang dikaji. Para peserta atau responden dipilih secara rawak daripada populasi yang besar menggunakan sama ada kaedah persampelan kebarangkalian atau persampelan bukan kebarangkalian. Jenis-jenis penyelidikan kuantitatif yang utama seperti penyelidikan deskriptif, penyelidikan korelasi, penyelidikan penyebab dan penyelidikan bereksperimen.

Penyelidikan sering mengambil sampel berbanding populasi. Bagaimanapun masyarakat lebih berminat untuk mengetahui tentang ciri-ciri sesuatu populasi, bukan sampel yang anda pilih. Oleh itu, penyelidik perlu membuat generalisasi daripada sampel yang dipilih daripada populasi tersebut. Cara yang paling selamat bagi memastikan bahawa sampel yang dipilih dapat mewakili populasi adalah dengan menggunakan prosedur pemilihan sampel secara rawak. Misalnya, anda boleh menggunakan prosedur persampelan rawak berstrata untuk memastikan bahawa sampel tersebut dapat mewakili populasi. Apabila sampel tidak dapat mewakili populasi, ia berkemungkinan disebabkan berlaku pemilihan sampel yang bias atau berat sebelah.

3. PENGUMPULAN DATA

Kualiti suatu penyelidikan juga bergantung kepada kualiti data. Kualiti data bermaksud data yang diperolehi mempunyai tahap ketepatan (kepersisan) yang tinggi atau dengan perkataan lain ralat persampelan adalah kecil. Justeru itu data sampel tersebut boleh digunakan untuk membuat penakbiran terhadap populasi kajian dengan lebih berkesan.

Data pula secara umunnya dikategori kepada data primer dan data sekunder. Data primer adalah data utama yang diperolehi dari sumber seperti melalui pemerhatian, soal selidik, temuduga bersemuka, kajian lapangan dan sebagainya. Contohnya, data pendapatan isi rumah pcnduduk di daerah Kubang Pasu, Jitra, Kedah yang diperoleh secara langsung daripada penduduk melalui temubual bersemuka atau soal selidik.

Data sekunder ialah data yang diperolehi dari sumber kedua iaitu bahan-bahan bertulis yang dihasilkan oleh orang lain seperti laporan-laporan tahunan, buku-buku atau jurnal. Contohnya, data jumlah gunatenaga buruh di Malaysia antara 1980 hingga 2009 yang diperoleh daripada Laporan Ekonomi (pelbagai tahun).

Terdapat beberapa teknik yang boleh digunakan untuk memungut data primer. Antaranya menggunakan teknik temubual bersemuka, teknik pemerhatian atau pengamatan, temubual menerusi telefon, menggunakan soal-selidik (secara bersemuka atau pos) serta pengumpulan data menggunakan soal-selidik melalui e-mail dan sebagainya. Perbincangan lanjut tentang kebaikan dan kelemahan setiap kaedah ini akan dibincangkan dalam bab Kaedah Pengumpulan Data.

Secara praktikal, biasanya penyelidik menggunakan lebih daripada satu teknik untuk mengumpul data atau maklumat kajian. Jika wujud kelemahan maka pelbagai pendekatan lain perlu dilakukan untuk melengkapkan pungutan data. Misalnya, penyelidik menggunakan teknik temubual bersemuka menggunakan pembanci, tapi pada masa yang sama penyelidik mungkin menghubungi semula responden tertentu melalui telefon bagi mendapat maklumat yang tidak lengkap dan sebagainya.

 4.      MENGANALISIS  DAN MENTAFSIR DATA

Menganalisis data merupakan bahagian penting dalam proses penyelidikan. Data-data yang telah dikumpulkan dengan lengkap perlu dianalisis. Penyelidik perlu mengetahui bagaimana data yang telah siap dikumpul tersebut akan dianalisis. Pada masa ini, data diproses dan diinterpretasikan dengan menggunakan komputer. Cara pengekodan data perlu ditentukan dengan tepat kerana kesilapan pengkodan boleh membawa kesilapan kepada dapatan kajian.

          Pada masa ini, terdapat pelbagai pakej statistik yang digunakan untuk menganalisis data. Misalnya, SPSS, SAS, Eviews, STATA, AMOS dan banyak lagi. Terdapat pula pelbagai analisis statistik yang boleh digunakan mengikut kesesuaian atau kaedah analisis data yang dijelaskan oleh penyelidik dalam Bab Metodologi Kajian. Antara analisis statistik yang sering digunakan seperti ujian-t, analisis varians (ANOVA), analisis korelasi, analisis regresi dan banyak lagi.


5. MENULIS LAPORAN AKHIR 


Persembahan laporan bergantung kepada pihak berkepentingan. Bentuk atau format laporan berbeza mengikut sasaran laporan itu hendak dikemukakan. Misalnya untuk seorang ahli akademik yang menyelia tesis pelajar memerlukan laporan berbentuk menyeluruh iaitu bermula daripada tajuk hinggalah kepada kesimpulan dan cadangan. Ini berbeza jika laporan untuk masyarakat umum yang hanya meminati penemuan kajian dan penulisan pula perlu bersifat deskriptif. Seorang pengurus yang terlalu sibuk mungkin ingin melihat hasil dan cadangan kajian sahaja.

Secara umumnya, sesuatu laporan seharusnya mempunyai ciri-ciri berikut:

a.       Isinya mudah difahami iaitu pembinaan ayat-ayat yang pendek, jelas serta tidak meleret-leret.
b.   Konsisten dari semua aspek. Gaya penulisan perlu konsisten mula dari bab awal hingga bab akhir laporan.
c.    Kelancaran aliran idea. Setiap subtopik harus berkaitan dan saling sokong menyokong untuk menghasilkan idea yang tidak putus atau tergantung. Setiap penulisan saling berkaitan dalam perenggan.
d.  Objektif. Laporan perlu ditulis secara objektif dan tidak emosional.  Apa yang dilaporkan perlu berasaskan kepada penemuan kajian dan bukan mengikut pendapat sendiri yang bersifat bias. Misalnya, jika penyelidik ialah seorang wanita menjalankan penyelidikan mengenai isu-isu wanita tidak seharusnya cenderung untuk menyimpang daripada fakta sebenar demi menjaga maruah kaum wanita.

3 comments:

  1. Assalamualaikum. Saya ingin meminta kebenaran untuk menggunakan post ini sebagai sumber kredit bagi blog saya. Terima kasih.

    ReplyDelete
  2. terima kasih atas perkongsian. sangat membantu :)

    ReplyDelete
  3. Harrah's Cherokee Casino & Hotel - Mapyro
    Harrah's Cherokee Casino & Hotel 보령 출장안마 is located in Murphy, 논산 출장마사지 North Carolina, United States and is open daily 24 출장샵 hours. The casino's 상주 출장마사지 27000 square foot gaming 안양 출장안마 space

    ReplyDelete